SAH KE TAK?
[...] DUN Perak perlu bersidang dengan segera bagi menyelesaikan kekaburan yang ada sekarang. Demikian pandangan Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas mengenai permohonan Speaker S. Sivakumar kepada Sultan Perak untuk mengadakan Sidang Khas Dewan 23 Februari lalu.
Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.
“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, jelas beliau ketika dihubungi.Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.
“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.
“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.
Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.
Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.
Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Aziz menjelaskan, “Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan.” [...]
0 comments:
Post a Comment