Tuesday, April 14, 2009

KRISIS DI PERAK BERLARUTAN

Kini krisis politik, perlembagaan dan undang-undang berikutan rampasan kuasa negeri Perak telah berlanjutan dua bulan setengah. Semua masalah yang muncul masih belum selesai.

Hari ini Mahkamah Persekutuan akan memutuskan sama ada Dato' Dr. Zambry bersama 6 ADUN BN menggunakan pendekatan undang-undang yang betul atau sebaliknya, dalam kes rujukan ke mahkamah bagi mencabar keputusan Speaker DUN yang telah menggantung kehadiran mereka ke sidang DUN selama 18 dan 12 bulan.

Apa pun keputusannya, pasukan peguam kedua-dua pihak telah bersedia dengan langkah susulan masing-masing. Jika mahkamah membenarkan Speaker dicabar, pasukan peguam yang mewakili Speaker dijangka akan mengemukakan isu non-justiciability iaitu 'tindakan Speaker tidak boleh dibawa/dirujuk ke mahkamah'. Jika mahkamah memihak kepada Speaker, pasukan peguam 7 ADUN BN itu juga telah bersedia untuk memfailkan permohonan baru berhubung 'penggantungan' itu dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang lain.

Sekiranya tidak berlaku campurtangan pihak eksekutif, proses perbicaraan saman atau permohonan judicial review berkaitan isu ini akan mengambil tempoh yang panjang, sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan.

Sementara itu, saman yang dikemukakan oleh Dato' Seri Nizar terhadap Dato' Dr. Zambry berhubung keabsahan tindakannya menerima perlantikan sebagai Menteri Besar baru juga sedang menjalani proses perbicaraan. Tempoh perbicaraan kes ini dijangka akan berlarutan sama seperti kes Speaker.

Di sebalik kes-kes mahkamah itu, wujud satu isu besar yang sedang menghantui BN tetapi amat ditunggu oleh Pakatan Rakyat dan seluruh penduduk negeri Perak. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan tempoh antara satu persidangan DUN dengan persidangan berikutnya tidak boleh lebih daripada 6 bulan. Oleh kerana BN tidak mengiktiraf sidang DUN yang diadakan pada 3 Mac 2009 di bawah pokok berhampiran Bangunan SUK, maka sidang terakhir sebelum ini ialah pada 13-28 November 2008.

Sekiranya tiada persidangan DUN yang baru sehingga tarikh 13 atau 28 Mei 2009 maka Dewan Undangan Negeri Perak akan terbubar dengan sendirinya.Untuk mengelakkan pembubaran DUN secara automatik itu, Dato' Dr. Zambry mesti memberi laluan untuk diadakan persidangan sebelum 13 atau 28 Mei ini. Namun selagi penggantungan 7 ADUN BN itu tidak terbatal melalui proses mahkamah, BN hanya menempah maut jika sidang DUN diadakan.

Kesudahan konflik ini tidak kelihatan akan memihak kepada BN kecuali mereka sanggup melakukan satu lagi pencabulan undang-undang. BN boleh menggunakan kepakaran 'mengugut' yang telah sebati dengan budaya politik mereka, dengan cara mencampuri urusan mahkamah.

Mereka boleh menyegerakan proses perbicaraan dan menetapkan keputusan yang memihak kepada BN dalam kes penggantungan 7 ADUN. Jika ini berlaku maka BN kembali memiliki kelebihan kerusi/undi dalam persidangan DUN. Oleh itu persidangan DUN bolehlah diadakan sebelum 13 atau 28 Mei.

Namun begitu, BN tidak akan dimaafkan oleh rakyat sekiranya mereka sanggup melakukan satu lagi pencabulan undang-undang yang terang-terangan memperbodohkan rakyat. - cyberboron

TERKINI : Mahkamah Persekutuan pagi tadi memutuskan bahawa Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exconya, telah menggunakan prosedur yang betul untuk mencabar penggantungan mereka daripada menghadiri sidang DUN Perak.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP